LA LA LA AT ROCK BOTTOM – Nyanyian ikhlas insan yang mencari secebis memori
La La La at Rock Bottom (2015)
(Comedy,Drama)
Pengarah: Nobuhiro Yamashita
Tarikh Tayang: 06 April 2017
Sinopsis: Ketika persembahan sebuah kugiran sedang berlangsung di Osaka, seorang lelaki, yang penuh luka dan lebam, merampas mikrofon dan terus menyanyi. Perbuatannya itu mengejutkan penonton namun lelaki itu mempunyai suara nyanyian yang menarik. Apabila Kasumi, pengurus band tersebut mengetahui bahawa beliau hilang ingatan, dia mengambil beliau sebagai penyanyi utama dan diberi nama panggilan ‘Pooch’. Kesemuanya tampak lancar dan kugiran mereka diterima baik, sehinggalah Pooch mula mengigati kembali zaman silamnya.
Drama berentak perlahan, gaya penceritaan santai dan sinematografi realistik, mempunyai nilai estetik, dekat kepada kehidupan sebenar dan bukan dramatik. Banyak babak yang dibiarkan ambien secara semulajadi tanpa tokok tambah runut bunyi latar. Berjaya menangkap ‘the moment’ walau tanpa skrip. Ibarat kita lepak bersama-sama mereka.
Penyampaian emosi yang berkesan, hasil lakonan Subaru Shibutani dan Fumi Nikaido yang mantap. Ekspresi emosi yang terpendam berjaya dizahirkan. Rasa amarah, keliru dan ‘blur’ akibat hilang ingatan terpancar hanya dari memek muka. Babak nyanyian juga menggunakan efek ‘live audio’, menyerlahkan lagi keikhlasan dalam ekspesi muzik.
Keseluruhan cerita yang biasa-biasa sahaja, namun penyampaian yang penuh rasa, menguatkan nilai filem ini. Juga tiada adegan cintan-cintun yang klise, tiada ayat-ayat jiwang yang dituturkan. Rasa kasih sayang, dan ambil berat, ditunjukkan dengan cara yang kasar dan tersendiri; juga tersirat melalui minat yang sama iaitu seni muzik dan nyanyian.
Kini ditayangkan secara ekslusif hanya di GSC yang terpilih (Mid Valley, Pavilion,1 Utama, Gurney Plaza)
Rating: 7.5/10
Ditulis oleh: Syafiq Ghazali - panel penulis tetap Movie Addict
Comments
Post a Comment