Tayangan Semula Konspirasi Di Pawagam Bakal Memberikan ‘Nafas Kedua’ Kepada Filem Sensasi Malaysia
KUALA LUMPUR, 18 September 2026 – Filem Konspirasi berpeluang menemui semula penonton menerusi tayangan semula di pawagam selepas penamatannya pada 28 Mei lalu, hanya seminggu selepas tayangan pertama. Perkembangan itu dikongsikan oleh Elepfilm Entertainment Sdn. Bhd. menerusi sesi tayangan edisi khas sempena sambutan Hari Malaysia yang berlangsung di TGV Pavilion Kuala Lumpur, kelmarin.
Penerbit Eksekutif Elepfilm Entertainment, Jack Yeoh, berkata pihaknya telah menetapkan sasaran tarikh tayangan semula dan dijangka mengumumkannya secara rasmi dalam masa terdekat, tertakluk kepada kelulusan serta sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
“Ini merupakan edisi khas yang tertakluk kepada pekeliling FINAS. Sasaran tarikh tayangan semula telah ditetapkan, namun sokongan rasmi daripada FINAS masih diperlukan untuk merealisasikannya.
“Penonton dan peminat telah meminta supaya Konspirasi ditayangkan semula. Kami berharap kerjasama pelbagai pihak, khususnya FINAS, dapat memastikan usaha ini direalisasikan,” katanya ketika ditemui pada sesi tayangan khas berkenaan.
Menurut Jack, edisi khas tersebut menampilkan versi filem yang lebih panjang berbanding tayangan asal, sekali gus menawarkan pengalaman berbeza kepada penonton. Beliau turut menekankan kepentingan sokongan bermakna terhadap industri perfileman tempatan, bukan sekadar melalui kata-kata, sebaliknya menerusi tindakan dan kehadiran penonton di pawagam.
Selain pasaran Malaysia, Elepfilm Entertainment turut merancang untuk memperluas capaian Konspirasi ke pasaran antarabangsa, termasuk Taiwan dan Korea Selatan. Usaha menambah ketersediaan filem di platform penstriman digital juga sedang diberi perhatian.
Jack berkata, sambutan positif di Singapura memberikan dorongan kepada pihak produksi untuk meneroka peluang pengedaran di negara lain. Tayangan di negara jiran itu dilaporkan mampu bertahan selama enam hingga tujuh minggu.
“Beberapa negara lain juga sedang dalam rundingan bagi penyiaran global. Maklumat lanjut akan dikongsikan apabila proses berkenaan mencapai perkembangan seterusnya,” katanya.
Filem Konspirasi mengangkat kisah pasukan elit yang diketuai Adli, yang merampas pelayan tersembunyi mengandungi senarai ahli politik korup. Namun, misi yang pada awalnya berteraskan niat murni bertukar menjadi perangkap berbahaya susulan pengkhianatan dalaman dan campur tangan asing.
Mengulas kontroversi yang pernah menyelubungi karya tersebut, pelakon utama, Datuk Adi Putra, melihat unsur sensasi dan konspirasi sebagai sebahagian daripada dinamika sesebuah karya hiburan. Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa mesej berkaitan korupsi merupakan perkara utama yang perlu diberi perhatian.
“Elemen konspirasi dan sensasi perlu wujud, namun pengajaran mengenai isu korupsi mempunyai relevansi bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia.
“Penonton seharusnya dapat memahami dan menilai realiti melalui sinopsis filem,” katanya.
Sementara itu, Che Puan Sarimah Ibrahim meluahkan rasa teruja dan bersyukur apabila Konspirasi berpeluang untuk kembali ditayangkan kepada khalayak.
“Nafas kedua ini sangat dinantikan, meskipun timbul cabaran teknikal di belakang tabir. Kepuasan sebenar bagi barisan pelakon dan kru adalah apabila kerja keras mereka diakui dan dihargai oleh penonton,” katanya.
Berhubung penamatan tayangan pada Mei lalu, Elepfilm Entertainment menegaskan bahawa keputusan tersebut dibuat atas pertimbangan dalaman syarikat dan tidak berkaitan dengan strategi pemasaran atau gimik publisiti.
FINAS turut mengesahkan bahawa penamatan tayangan dibuat atas permintaan penerbit, berdasarkan kenyataan rasmi yang diterima melalui MA FE dan pihak pengedar filem. Pihak-pihak terlibat menolak dakwaan bahawa keputusan berkenaan dipengaruhi pihak luar.
Sehubungan itu, Elepfilm Entertainment meminta media dan penonton agar tidak menyebarkan spekulasi yang tidak disahkan mengenai punca penamatan tayangan. Pihak produksi akan mengumumkan perkembangan terkini berkaitan tarikh tayangan semula selepas memperoleh persetujuan rasmi daripada pihak berkaitan.
Majlis tayangan edisi khas tersebut turut dihadiri YAM Tengku Temenggong Perlis, Dato’ Seri DiRaja Syed Amir Abidin Jamalullail Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail; YM Che Puan Temenggong Perlis, Datin Seri DiRaja Farinawati Datuk Mohd Din; mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki; serta barisan pelakon utama, termasuk Datuk Adi Putra, Che Puan Sarimah Ibrahim, Esma Daniel dan Amir Nafis.
Konspirasi diterbitkan melalui kerjasama Elepfilm Entertainment dan Asia Tropical Films, manakala edaran dikendalikan oleh Primeworks Studios. Karya ini mengetengahkan isu korupsi dan pengkhianatan dalam sebuah naratif yang menghubungkan kepentingan tempatan dengan campur tangan antarabangsa.
Sekiranya mendapat kelulusan dan sokongan yang diperlukan, tayangan semula Konspirasi dijangka membuka ruang kepada penonton Malaysia untuk menyaksikan kembali karya berkenaan, selain memperkukuh peluang pengedaran ke pasaran luar negara serta platform penstriman digital.
Comments
Post a Comment