Ulasan filem VICTORIA & ABDUL : penyatuan manusia tanpa sempadan agama
Sebuah filem biopic ringkas tentang Queen Victoria & Abdul. Mengangkat tema cinta yang telah berubah menjadi persahabatan sejati di antara Queen Victoria dan Abdul Karim, seorang pencatat di penjara Agra yang dipilih untuk mempersembahkan mohor dari kerajaan India di England hanya disebabkan ketinggiannya.
Secara peribadi filem ini bercorak biasa sahaja seperti filem-filem biopik yang lain, tetapi tidak meninggalkan apa-apa kesan kekaguman atau emosi yang mendalam. Sekadar kita sebagai penonton mengikuti perjalanan kisah mereka sahaja. Saya tidak mahu bersikap tidak adil untuk memberi pandangan terhadap jalan cerita di dalam filem ini kerana saya akui tidak arif mengenai kisah sebenar Queen Victoria dan Abdul Karim.
Saya melihat filem ini banyak mengangkat sudut positif mengenai penyatuan manusia tanpa sempadan agama yang ditonjolkan di antara Abdul Karim yang beragama Islam tetapi tidak bersikap pembenci terhadap agama lain dan keterbukaan Queen Victoria untuk mempelajari Al-Quran dan Bahasa Urdu. Filem ini juga berani untuk memperlihatkan kekotoran terhadap pemerintahan British yang licik, rasis dan mementingkan diri. (Adakah filem ini sebagai percubaan mengangkat Islam?)
Selebihnya, permainan sinematografi yang indah tetapi biasa-biasa sahaja seperti mana sinematografi yang boleh kita lihat di dalam filem-filem inggeris. Film score juga tiada apa yang menarik, biasa-biasa.
Saya sukakan lakonan Judi Dench mantap dengan dialog-dialog yang saya boleh kira cemerlang. Cuma, saya sedikit keliru dengan watak Abdul (Ali Fazal) di dalam filem ini, gambaran tentang figura Abdul masih belum jelas bagi saya.
Filem ini berjaya mencuit hati saya dengan lakonan dan dialog-dialog dari Judi dan Adeel yang spontan dan sering menimbulkan hilai tawa dari penonton.
Selebihnya, ini sebuah filem yang ringan, tidak mendalam dan tidak penuh drama yang boleh ditonton untuk release tension di pawagam. Jujurnya, tidak rugi pun untuk turun menonton filem ini cuma bagi saya ini bukan filem biopik yang memenuhkan hati saya.
Rating 5.5/10
Ulasan oleh Intan Syahirah Abd Talib, group Facebook Movie Addict
Comments
Post a Comment