Cikgu, Wiring CCTV & WhatsApp: Drama Murahan di Zaman Skrol
“Bagi Saya Peluang”: Seks, Skandal & Siri Mikro TikTok
Jika dalam dunia wayang, hubungan sulit selalunya dibalut dengan cahaya lembut, muzik latar Bernard Herrmann, dan patah dialog yang menggigit, maka di dunia sebenar hari ini—segalanya berlaku dalam format potret, dengan bunyi notifikasi WhatsApp, dan latar belakang lampu kalimantang rumah teres dua tingkat.
Seorang cikgu perempuan. Seorang lelaki wiring. Perbualan berunsur 18SX. Tangkap layar. TikTok. Rayuan. “Bagi saya peluang.” Jika ini bukan skrip telenovela masa depan Malaysia, saya tak tahu apa lagi yang tinggal.
Apa yang bermula sebagai servis CCTV bertukar menjadi episod berlapis-lapis di media sosial, lengkap dengan narator luar layar (isteri lelaki tersebut) dan pelbagai "shot" dari kamera telefon yang tidak diundang. Sebuah kisah cinta terlarang yang tiada rasa seni, tetapi dipersembahkan kepada umum seperti persembahan monolog murahan—dan ya, penonton menyukainya.
Apa yang kita lihat di sini bukan hanya kejatuhan moral dua insan, tetapi kebangkitan satu genre baru: dokumentari kehidupan orang lain yang ditonton beramai-ramai tanpa perlu izin produksi. Setiap komen adalah dialog tambahan. Setiap share adalah penaja tanpa bayaran. Dan setiap tontonan adalah perakuan bahawa kita tidak lagi perlu drama fiksyen—realiti sudah cukup hodoh untuk ditertawakan.
Rayuan si wanita dalam video berdurasi satu minit itu—“Bagi saya peluang”—adalah sekuen yang sangat sinematik, bukan kerana sinematografi, tetapi kerana keberaniannya berdiri dalam ruang digital yang sedang mendidih dengan hukum dan penghinaan. Ia bukan permintaan maaf, tetapi penutup tirai bagi babak pertama. Dan saya tidak pasti ada babak kedua.
Apa yang menyedihkan bukan dosa mereka, tetapi kesungguhan kita menontonnya seperti pesta. Kita menonton bukan untuk faham, tetapi untuk menghukum. Kita bukan penonton filem, kita sudah jadi pelakon tambahan dalam neraka kecil media sosial.
Comments
Post a Comment