[THROWBACK] Lakonan itu bukan jiwa Wany Hasrita
17 September 2019: Penyanyi, Wany Hasrita mengakui, dia pernah menghadapi tekanan emosi kerana membintangi sebuah telefilem yang disiarkan musim Syawal lalu. Wany berkata, walaupun dia melakonkan wataknya sendiri, dia menyedari bahawa lakonan bukanlah jiwanya kerana selama seminggu penggambaran drama itu, dia tidak keruan.
“Saya memberi salutasi kepada pelakon yang dapat berkonsentrasi sepenuhnya selama berhari-hari di set penggambaran. Lebih mengejutkan saya, mereka dapat menghidupkan watak tanpa menghadapi masalah," katanya pada Berita Harian.
"Ketika saya melalui pengalaman sendiri ketika berada di lokasi penggambaran, saya baru tahu, lakonan sebenarnya tidak mudah. Ia menuntut kesabaran dan semangat yang tinggi. Selama seminggu penggambaran, saya menjadi bingung, walaupun saya bawa watak sendiri. Mungkin kerana itu tidak normal, keadaan sedikit sebanyak mempengaruhi emosi," katanya.
Penyanyi yang popular dengan lagu Menahan Rindu itu berkata, hatinya tergerak untuk menceburkan diri dalam dunia lakonan setelah mendengar pengalaman beberapa rakannya seperti Amira Othman. "Saya kagum kerana Amira berani membawa watak yang berat dan banyak bermain dengan emosi. Mungkin kerana lakonan bukan jiwa saya, emosi saya sangat tidak menentu. Beri saya sedikit masa untuk mencari kekuatan sebelum kembali berlakon," katanya.
Wany berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single duet dengan Datuk Jamal Abdillah, Belenggu Rindu, baru-baru ini.
Comments
Post a Comment