Mengenang Seniman Terkenal : Allahyarham A.R. Tompel

BIODATA
Nama sebenar AMAN RAMLIE BIN JAAFAR
Tarikh lahir 24 OKTOBER 1918
Tempat lahir TANJONG BALAI, SUMATRA, INDONESIA
Tarikh meninggal dunia 30 JANUARI 1973
Tempat meninggal dunia HOSPITAL BESAR, KUALA LUMPUR
A.R. TOMPEL (Aman Ramlie Bin Jaafar) mula mendapat perhatian saya ketika menonton filem "Rachun Dunia" disebuah panggung wayang di Teluk Anson (kini Teluk Intan) di awal tahun 1950an ketika berusia 7 tahun.
Adegan paling saya ingat (sebelum menontonnya semula di tv beberapa tahun kemudian) betapa kelamkabutnya dia apabila rumahnya terbakar dan cuba menyelamatkan Mardiana (Sopatry).
Saya mula meminati telatah-telatah lucunya apabila menonton "Aloha" dan "Berdosa" berpasangan dengan D.Harris, kemudian disusuli pula "Bapa Saya" memegang peranan utama disamping Neng Yatimah dan Osman Gumanti yang berperanan sebagai heroine dan hero.
Selepas "Pulau Mutiara," minat saya terhadap A.R. Tompel terputus apabila dia berkarya di Nusantara Film yang mana filem-filemnya di studio tersebut terbatas penayangannya kerana rangkaian panggung wayang di Malaya (Singapura) dikuasai oleh Shaw Brothers dan Pertubuhan Cathay.
Apabila Nusantara Film melabuhkan tirainya, A.R. Tompel menyepi dan meminggirkan dirinya dari dunia filem. Dia tidak kembali ke MFP Jalan Ampas dan tidak juga ke Cathay Keris.
Ini bererti, saya tidak dapat lagi ketawa menonton telatah-telatah lucunya melalui filem sekian lama.
Bagaimanapun, perhatian saya tertumpu semula kepadanya apabila P.Ramlee mengambilnya berlakon dalam filem komidi "Do Re Mi" pada tahun 1966.
Lima filem lakonannya sebelum itu, "Tun Tijah", "Abu Nawas" (juga sebagai pengarah), "Keris Sempena Riau", "Selendang Merah" dan "Siti Payong", tidak menarik minat saya.
Peranan Re (Amore) yang di bawanya sangat menggeletekkan hati saya ditambah pula dengan adanya lawak-lawak yang tidak kurang lucunya oleh P.Ramlee dan Ibrahim Din.
Keberkesanan lakonan dalam "Do Re Mi" membuatkan saya teringatkan "Aloha" dan "Bapa Saya", dan ini membuatkan saya terus menonton dan terhibur dengan telatah-telatah lucunya dalam "Nasib Do Re Mi", "Keluarga 69", "Anak Bapak", "Gerimis", "Ahmad Albab" dan akhir sekali "Laxmana Do Re Mi".
A.R. TOMPEL MULA MENDAPAT PERHATIAN
A.R. Tompel mula mendapat perhatian apabila akhbar The Straits Times menyiarkan serba sedikit mengenai dirinya pada 28 Julai 1950 di muka 9.
Menurut akhbar tersebut, pelawak terkenal yang dikenali sebagai "Tompel" dilahirkan di Tanjong Balai pada tahun 1918. Dia A. Ramlee (ejaan sebenar Ramlie) memulakan kerjayanya sebagai penari dengan kumpulan sandiwara Kris Opera pada tahun 1938.
Aman Ramlie lebih terkenal sebagai Tompel kerana dia menghasilkan banyak cerita komik antaranya "Nasib Si Tompel", "Mimpi Si Tompel" dan "Si Tompel Tertuduh".
A.R. Tompel pertama kali datang ke Singapura sebagai penolong pengarah kumpulan sandiwara Rayuan Asmara pada tahun 1946.
Pada tahun 1949, dia telah di screen test (uji skrin) oleh Malay Film Productions, dan berjaya mendapat peranan kecil dalam "Nilam" kemudian disusuli pula "Rachun Dunia".
Pertama kali nama A.R. Tompel tercatat di credit title ialah "Rachun Dunia" - Karman A.R. TOMPEL. Dalam "Nilam" namanya tidak tercatat.
Selepas itu dia digandingkan pula dengan pelawak D.Harris dalam "Dewi Murni" yang ternyata nampak serasi. Dalam "Nilam" mereka berlakon bersama tetapi tidak berlawak bersama.
Kerana A.R.Tompel dan D.Harris begitu secucuk, mereka berlakon (berlawak) pula dalam "Takdir Illahi", "Aloha", "Berdosa" dan "Pulau Mutiara".
Dalam "Takdir Illahi" A.R. Tompel bukan saja sebagai pelakon tetapi dilantik oleh L.Krishnan sebagai penolongnya (pembantu pengarah) dan menyusun dialog.
Kerana tidak puas hati dengan pembayaran disamping pengkaryaannya tidak bebas dan terhad, A.R. Tompel secara senyap-senyap (masih dalam kontrak dengan MFP) membantu Hsu Chiao Meng yang baru saja menubuhkan Nusantara Film Company iaitu pada tahun 1950.
Dia terlibat terus dengan "Perkahwinan Rahsia" sebagai pengarah bersama dengan Hsu Chiao Meng. Bagaimanapun, perlanggaran kontrak itu diketahui juga oleh Shaw Brothers.
Disebabkan A.R. Tompel merupakan aset penting Shaw Brothers ("Aloha", "Berdosa", "Bapa Saya" dan "Pulau Mutiara" menghasilkan pendapatan yang lumayan), dia telah dipanggil oleh Shaw Brothers untuk berunding yang kemudian menawarkannya sebagai pengarah filem, untuk mengarahkan "Fatimah".
A.R.Tompel menolak kerana pembayaran yang dianggapnya tidak setimpal, dan kerana itulah Haji Mahadi telah ditugaskan menjadi pengarah "Fatimah" yang kemudian ditukar tajuknya menjadi "Permata Di-Perlimbahan" (1952) yang dibintangi oleh Maria Menado dan Noordin Ahmad.
Selepas "Perkahwinan Rahsia", A.R.Tompel berkarya terus di Nusantara Film mengarahkan (dikatakan menggunakan nama Armaya) "Norma" (1951), "Chinta Murni" (1952), "Sesal Tak Sudah" (1952) "Sehati Serasa" (1953) dan "Seniati" (1953).
Dalam "Perkahwinan Rahsia" nama A.R. Tompel tidak tercatat sebagai pengarah tetapi nama Hsu Chiao Meng kerana kontraknya dengan Shaw Brothers masih berkuatkuasa.
Tetapi filem-filem lain tidak jelas kedudukannya (saya masih ragu-ragu) samada namanya tercatat sebagai pengarah atau menggunakan nama Armaya atau masih menggunakan nama Hsu Chiao Meng.
Ini disebabkan kesemua filem Nusantara Film, kecuali "Perkahwinan Rahsia", sudah hilang. Ini bererti segala faktanya pun turut ghaib.
A.R. TOMPEL, ISTERI & ANAK
Semasa kematiannya, dikatakan A.R.Tompel mempunyai 18 orang anak. Tetapi, selepas itu, ada juga tercatat 23. Mana satu yang betul tidak dapat dipastikan.
A.R.Tompel juga dikatakan mempunyai ramai isteri (menurut anaknya, Rosita Aman Ramlie, 6 orang), tetapi 4 saja yang dapat dikesan - P. Suriati, Salmah Ismail (Saloma), Azizah Ismail (Jah Ismail) dan Ruminah Sidek.
Bersama P.Suriati, A.R.Tompel mempunyai 4 anak dan hanya 2 berbakat sepertinya sebagai pelawak - Armaya Aman Ramlie (A.R.Badol) dan Amran Aman Ramlie (Amran Tompel).
Begitu pun juga, antara mereka berdua, A.R.Badol yang lahir di Singapura pada 2 November 1949, paling menonjol kerana banyak berlakon dan mengarah filem yang boleh dikatakan semuanya bercorak komidi.
Popularnya A.R. Badol, hasil cungkilan bakat oleh RTM pada tahun 1975 apabila dia muncul sebagai johan Bakat TV berpasangan dengan R. Jaafar.
Amran Tompel pernah berlakon beberapa filem termasuk "Pontianak Menyerit", "Salah Bapak" dan "Antoo Fighter".
Bersama Saloma, A.R.Tompel hanya mempunyai seorang anak, Armali Aman Ramlie, yang lebih terkenal sebagai pemusik dibandingkan pelawak. Dia dilahirkan di Singapura pada tahun 1953.
A.R.Tompel berkahwin dengan Saloma pada tahun 1952 (tarikh tepat tidak diperolehi), dan hanya bertahan selama 3 bulan saja.
Armali Aman Ramlie meninggal dunia di Tampin, Negeri Sembilan pada 6 Ogos 2006.
Bersama Jah Ismail, paling ramai A.R.Tompel mempunyai anak (10 semuanya) tetapi tidak seorang pun yang berbakat sepertinya. Begitu pun juga, Rosita Aman Ramlie sedang giat berusaha mengumpulkan bahan-bahan mengenai A.R.Tompel untuk tulisannya yang akan dijadikan buku.
Satu langkah yang sangat baik, kerana A.R. Tompel sepatutnya (wajib) ada buku mengenainya. Dia merupakan salah seorang personaliti filem yang banyak jasanya terhadap perkembangan filem Malaysia.
Bersama Ruminah Sidek, hanya Adlin Aman Ramlie saja yang paling ke depan mengikut langkah ayahnya sebagai anak seni, tetapi bukan pelawak.
Dia telah berlakon banyak filem termasuk "Puteri Gunung Ledang" (2004) yang diarahkan oleh Saw Teong Hin juga turut dibintangi oleh Tiara Jacquelina, Alex Komang dan M.Nasir.
SEBELUM A.R. TOMPEL DILANGGAR KERETA
Menurut pengurus Restoran Semporna yang terletak di Jalan Haji Hussein dan juga pelakon filem, Yusoff Surya (suami Fadzliyaton), mereka berdua berada dalam Restoran Semporna selama kira-kira 9 jam (20 Januari 1973) berbual-bual sambil makan minum.
Mereka berdua meninggalkan restoran tersebut kira-kira jam 12.00 tengahmalam (21 Januari 1973) dan berpecah untuk pulang ke rumah masing-masing. Yusoff Surya ke Ampang Jaya dan A.R. Tompel menuju ke Setapak.
Yusoff Surya mendapat khabar tentang kemalangan A.R. Tompel dilanggar kereta tidak lama kemudian dan menganggap kejadian tersebut sangat memeranjatkan.
Menurut jurucakap polis pula, A.R. Tompel dipercayai telah dilanggar oleh sebuah kereta selepas dia singgah di sebuah kedai dekat panggung wayang Alhambra (kini sudah tiada) di Setapak.
Katanya lagi, A.R. Tompel telah dilanggar dan ditinggalkan begitu saja tanpa mendapat bantuan oleh pemandu yang melanggarnya.
Bagaimanapun, tidak lama kemudian, dia mendapat bantuan orangramai dengan memasukkannya ke unit jagaan intensif (icu) dengan keadaan tidak sedarkan diri dan kritikal.
Kemalangan tersebut berlaku tidak sampai pun satu jam setelah dia keluar bersama Yusoff Surya dari Restoran Semporna, jam 12.40 pagi.
CERITA PEMANDU KERETA MELANGGAR A.R. TOMPEL
Kapten Tentera Hamzah Karim, 40 tahun, sebagai membela dirinya di mahkamah rendah di Kuala Lumpur yang dikena tuduhan memandu dengan cuai memberitahu, dia sedang memandu kereta Cortina dari Jalan Pahang menuju ke arah Jalan Gombak (Setapak), apabila dia ternampak seorang lelaki berdiri di tengah-tengah jalan.
"Sebuah kereta Volvo telah memotong saya disebelah kanan. Lelaki itu cuba mengelakkan kereta itu dan dia menyekat jalan saya dan terus melanggar bahagian depan kereta saya," katanya.
Tambah Hamzah Karim lagi, "Saya tidak berhenti setelah melanggar lelaki itu kerana terlalu takut kena pukul, sekali pun sebuah pondok polis berada kira-kira 300 ela saja jauhnya dari tempat kemalangan".
Hamzah Karim membuat lapuran polis 6 hari kemudian, dan dalam perbicaraan tersebut (16 November 1973) dia didapati bersalah kerana cuai dan didenda 800 ringgit.
"CORAK DUNIA"
Bermacam-macam corak dunia
Ragam manusia pun tak tentu
Orangkaya hidup gembira
Ratap tangis miskin piatu
Bila dunia kan damai
Manusia saling menghargai
Hidup pun saling bantu
Lenyap semua keji dan tipu
Pabila sudah inginkan harta
Tidak segan berbuat dosa
Hilang rasa kemanusiaan
Segera timbul kekejaman
Orangkaya hati riang
Mendapat harta dari menipu
Kasihan si miskin malang
Kerna menderita hidup selalu
Bermacam-macam corak dunia
Ragam manusia pun tak tentu
Orangkaya hidup gembira
Ratap tangis miskin piatu
Penyanyi filem: Osman Gumanti & Neng Yatimah
Penyanyi suara: R. Azmi & Momo
Penyanyi piringhitam: P. Ramlee & Momo
Pencipta lagu: Osman Ahmad
Penulis lirik: A.R. Tompel
Filem: "Bapa Saya"
FILEM-FILEM A.R. TOMPEL
Malay Film Productions (MFP)
1. NILAM (1949)
2. RACHUN DUNIA (1950)
3. DEWI MURNI (1950)
4. TAKDIR ILLAHI (1950)
5. ALOHA (1950)
6. BERDOSA (1951)
7. BAPA SAYA (1951)
8. PULAU MUTIARA (1951)
Nusantara Film Company
9. PERKAHWINAN RAHSIA (1950)
10. NORMA (1951)
11. CHINTA MURNI (1952)
12. SEHATI SERASA (1952)
13. SESAL TAK SUDAH (1953)
14. SENIATI (1953)
Merdeka Film Productions
15. TUN TIJAH (1960)
16. ABU NAWAS (1961)
17. KERIS SEMPENA RIAU (1961)
18. SELENDANG MERAH (1962)
19. SITI PAYONG (1962)
20. DO RE MI (1966)
21. NASIB DO RE MI (1966)
22. KELUARGA 69 (1967)
23. ANAK BAPAK (1968)
24. GERIMIS (1968)
25. AHMAD ALBAB (1968)
26. LAXMANA DO RE MI (1973)
RTM (TV Malaysia)
27. INTAN (1970)
FAKTA
A.R. Tompel tidak berlakon dalam "Pembalasan" (1950), tetapi bertindak sebagai penulis lirik dan penulis senikata (dialog).
Dalam "Perkahwinan Rahsia" tercatat pengarahnya Hsu Chiao Meng. A.R. Tompel bertugas sebagai penulis cerita, penulis senikata (dialog) dan penolong pengarah.
A.R. Tompel dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang, Kuala Lumpur bersebelahan pusara Saloma, P. Ramlee dan Nasir P. Ramlee.
A.R. Tompel tidak pernah berlakon di Cathay Keris Film.
A.R. Tompel bukan saja sekadar berlawak tetapi juga mampu berperanan jahat antara filemnya "Aloha" dan "Selendang Merah".
Kesemua empat isteri A.R. Tompel (P. Suriati, Saloma, Jah Ismail dan Ruminah Sidek) pelakon filem.
Antara empat isteri A.R. Tompel, hanya Ruminah Sidek saja yang masih hidup.
Sama seperti P. Ramlee, filem terakhir A.R. Tompel "Laxmana Do Re Mi".
Agak menarik, dalam "Ahmad Albab," Saloma berperanan sebagai anak A.R. Tompel dan dia juga sebagai isteri P. Ramlee.
"Intan" satu-satunya drama tv (RTM) yang dibintangi oleh A.R.Tompel bersama P.Ramlee.
Sumber : Mustafar AR

Comments

VIDEO TERHANGAT!

Trending di BACKSTAGE.MY

Popular posts from this blog

Layang-Layang Perkahwinan Episod Akhir: Pengkhianatan dan Perkahwinan Rahsia Terbongkar. Azim Dan Saida Bersatu Semula? (Ulasan Drama)

JDT Belasah Selangor 6 - 1 Final Piala FA 2024

Kim Seri Mohon Maaf Secara Langsung di TikTok, Akui Kesilapan dan Rayu Peluang Kedua

Lelaki Pikat Doktor, Tapi Terlopong Kena Hantaran RM30,000!

Liku-liku Hidup Fazura dan Kisah Perceraiannya Ibarat Lagu Band Korn

Anas Zuhrin: Individu Mulia Bantu Rozita Che Wan Selesaikan Hutang