Kenangan Menghadiri Gigs Black Metal di Era 90-an
Muzik metal keras sudah lama bertapak di Malaysia, dengan puncaknya sekitar pertengahan tahun 90-an. Pada waktu itu, gigs black metal boleh dikatakan diadakan hampir setiap minggu di pelbagai tempat seperti Ipoh, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Sabah, dan Sarawak. Kaset demo dijual pada harga RM5, dan apabila sesuatu band itu terkenal, lagu-lagu mereka menjadi lebih menarik.
Di studio rakaman, kaset dijual pada harga RM12, sementara majalah hitam putih yang memuatkan cerita tentang muzik metal turut dijual. Kenangan zaman remaja yang tidak dapat dilupakan ialah ketika mendapat tahu ada gigs di Ipoh, pasti saya akan turun. Dewan Pengakap dan Dewan Bulan Sabit Merah menjadi tempat yang sering dikunjungi.
Pada ketika itu, saya akan bersiap-siap dengan pakaian serba hitam, lengkap dengan gambar band-band metal pada baju. Kemudian, saya menaiki bas menuju ke Medan Kidd. Setibanya di sana, saya dapat melihat ramai peminat muzik metal yang turut hadir dengan pakaian serba hitam. Tidak ketinggalan, ada juga yang mengenakan spike atau berjubah. Sungguh bersemangat sekali suasana ketika itu.
Di dalam dewan, saya melihat pelbagai jenis pengunjung, termasuk yang memakai corpse paint di muka mereka. Penampilan mereka yang ganas dan hensem menjadi pemandangan biasa di gigs. Ketika band membuat persembahan, masing-masing terhibur dengan gelagat peminat yang ada. Ada yang berdiri tegak, ada yang angguk kepala sedikit, dan apabila feeling benar, ada yang memusingkan kepala mereka seperti helikopter. Namun, walaupun suasana begitu energik, tidak pernah berlaku pergaduhan. Selepas gigs selesai, semuanya kembali tenang, dan kami semua tetap kawan.
Namun, pada awal tahun 2000-an, media mula menulis cerita-cerita yang tidak benar tentang muzik metal, dengan tuduhan seperti upacara penyembahan setan, minum darah kambing, dan membakar Al-Quran. Saya sendiri yang telah menghadiri banyak gigs tidak pernah menyaksikan perkara seperti itu. Kalau ada pun, saya yakin kami akan menegur mereka dan menghalau mereka keluar.
Seiring berjalannya waktu, kerajaan mula mengharamkan muzik metal di jual secara terbuka, dan permit untuk mengadakan gigs juga semakin sukar diperoleh. Perlahan-lahan, aliran muzik ini tenggelam.
Kini, saya tidak lagi terlalu aktif mendalami muzik metal seperti dahulu. Sekarang, saya lebih tertarik dengan lagu-lagu Blackpink, terutamanya dengan aksi tarian mereka yang penuh gaya dan sensual, dengan gerakan bertenaga dan "tonggek". Itu yang gomen bagi.
Sumber: Lordman Kerol
Comments
Post a Comment