Acara Honda Day Malaysia 2024 Jadi Bahan Jenaka, Penganjur Mohon Maaf Atas Hadiah Cabutan Bertuah
Acara Honda Day Malaysia 2024 yang sepatutnya menjadi platform meriah untuk peminat Honda, bertukar menjadi bahan jenaka di media sosial apabila hadiah utama cabutan bertuah, sebuah kereta lama, dipersenda oleh ramai netizen. Ramai yang meluahkan kekecewaan dan tidak puas hati, malah ada yang mencadangkan agar pemenang hadiah tersebut diberi motosikal atau barangan lebih bernilai.
Salah seorang pengguna media sosial menyindir, "Event Y15 dapat BMW, ini Honda Day bagi kereta masuk muzium." Sindiran itu menjadi viral apabila gambar kereta tersebut tersebar, menunjukkan keadaan kenderaan yang jelas memerlukan penambah baikan besar-besaran. “Modal kereta RM3,500, balik buat cat RM3,000, sekali enjin RM5,000. Ranap poket pemenang lucky draw,” kata seorang lagi pengguna, mengkritik tindakan penganjur.
Keadaan bertambah kecoh apabila ramai mendakwa penganjur cuba 'membungkus kelemahan' dengan membalut kereta tersebut seolah-olah ia sebuah model mewah. Ada yang berseloroh, "Siap tutup bagai ingatkan Type R, buka-buka lari orang sekeliling! Pakej siap cermin terkeluar lagi, aircond sejuk beku. Gigil, bro!"
Remy Ampang, wakil penganjur Honda Day Malaysia, tampil memohon maaf atas kontroversi yang tercetus. Dalam satu kenyataan, beliau menjelaskan bahawa hadiah kereta itu telah disponsor oleh Black Mafia Garage dari Batu Pahat, Johor. Menurutnya, kereta tersebut diterima hanya seminggu sebelum acara, dan mereka berada dalam keadaan kelam-kabut untuk memperbaikinya atau mencari hadiah alternatif.
“Kami mohon maaf kerana tidak sempat menguruskan hadiah tersebut dengan lebih baik. Dalam masa terdekat, kami akan menghantar hadiah gantian ke rumah pemenang dan akan buat sesi siaran langsung terbuka di media sosial,” kata Remy.
Namun, netizen tidak melepaskan peluang untuk terus menyindir. "Kalau dah tahu kereta tu macam tu, baik bagi Honda EX5 restore jek, lagi berguna!"
Walaupun Remy dan semua kru Honda Day Malaysia memohon maaf dan berjanji untuk memperbaiki kelemahan dalam penganjuran, ramai netizen masih skeptikal. “Ape siak... kot macam tu nye hadiah, baik bagi hamper jajan jek," kata seorang pengguna dengan nada kecewa.
Penganjur berharap kontroversi ini tidak menjejaskan acara mereka di masa hadapan, dan berjanji untuk lebih berhati-hati dalam memilih hadiah yang lebih berpatutan dan sesuai dengan harapan peserta.
Comments
Post a Comment