U-WEI HAJI SHAARI: SURAT TERBUKA KEPADA AHMAD IDHAM

SURAT TERBUKA KEPADA AHMAD IDHAM:


Bismillah Hirohma Nirohim


Salam Sejahtera Saudara Ahmad Idham Ketua Pengarah FINAS,


Surat terbuka ini saya tulis setelah menerima berita penolakan tanpa alasan oleh FINAS bagi projek filem kenegaraan. Ini disampaikan oleh penerbit saya, iaitu Dato’ Azmir Saifuddin, mantan Penolong Ketua Pengarah FINAS, dan filem diberi tajuk Wangi Jadi Saksi.

Ingin dinyatakan di sini surat rasmi penolakan dinyatakan melalui e-mel di bawah tajuk Keputusan Permohonan Dana Kandungan Digital dan tidak ada menyebut filem kenegaraan.

Saya pasti anda bukan sahaja sudah termaklum akan projek ini, tetapi telah juga tahu tentang keputusannya. Atau dengan secara langsung mahupun tidak anda ada memainkan peranan dalam keputusan itu. Ini saya katakan begitu dari tangkapan sumber FINAS yang mengendalikan dana ini apabila beliau menyebut akan ‘…kerana keputusan dari atas’. Dan ‘immediate boss’ beliau adalah

saudara sendiri.


Saudara Ahmad Idham,

Ingin diingatkan bersama-sama , FINAS dari definisi adalah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, sekali gus ditubuhkan untuk kemajuan filem kita. Dan saya menyokong penuh projek untuk menghasilkan filem kenegaraan, dan filem nasional. Projek filem kenegaraan ini diumumkan kala anda menyandang jawatan Ketua Pengarah FINAS pada kali kedua setelah perjalanan anda sebagai Ketua Pengarah kali pertama tidak lancar, dan dihentikan.

Saya memohon melalui Wangi Jadi Saksi. Pitching pada 16 Mac secara maya menggunakan aplikasi Zoom pada jam 3 petang berjalan lancar. Hadir bagi pihak kami ialah saya, Dato’ Azmir Saifuddin dan Encik Azman Azahar, serta wakil FINAS ialah Mohd Fazli Abdul Aziz dengan dua ahli akademik; seorang profesor dan seorang doktor. Tiada satu soalan pun ditanya, dan setelah pembentangan saya bertanya lagi jika ada soalan atau keraguan dan mereka hanya menunjukkan ibu jari sebagai semuanya baik. Saya tekankan di sini bahawa mereka yang dipilih oleh FINAS adalah orang-orang

pakar yang dipercayai. Orang ilmuan yang saya hormati.


Sadara Ahmad Idham,

Kala saya menerima berita penolakan, saya sebenarnya tidak terkejut dan juga terkejut. Saya tidak memahami akan campur tangan anda sebagai Ketua Pengarah dalam menentukan keputusan setelah kebijaksanaan yang diamanahkan kepada pegawai anda dan kedua-dua orang pakar tadi. 

Saya juga tidak nampak bijaknya sumbangan anda pada peringkat akhir dalam keputusan, selain menunjuk kuasa anda yang dimiliki. Setahu saya selama saya sebagai pembikin filem (menulis, mengarah dan menerbit), saya tidak sedar atau tidak tahu akan kecemerlangan anda dalam menghasilkan sesebuah filem yang bermutu tinggi, atau dalam kata lain sebuah filem yang boleh diterima pada peringkat antarabangsa.

Saya tidak terkejut (hairan agak pasif) kerana pada Sabtu malam 13 Februari setelah berkali-kali diajak berjumpa, akhirnya saya bersua dengan Puan Ellie Suryati di sebuah hotel. Pada malam itu beliau telah menyuarakan cadangan supaya sebuah persatuan baharu ditubuhkan atas cadangan saudara sendiri, dan atas persetujuan saudara juga saya telah diminta untuk memimpin persatuan tersebut. Salah satu tujuan penubuhan persatuan baharu itu adalah untuk memadamkan persatuan pengarah yang telah ada, FDAM yang diketuai Saudara Ahmad Ibrahim. Setelah mendengar huraian panjang lebar daripada Puan Ellie, saya menolak cadangan beliau yang sudah tentunya cadangan saudara juga.

Pada Selasa petang 16 Mac, saya mendapat pesanan WhatsApp dari FINAS yang

Mengatakan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, dan Ketua Pengarah FINAS akan membuat lawatan sesi ziarah FINAS PRIHATIN ke rumah pengarah filem (nama Othman Hafsham dan saya disebut). Saya menyatakan keberatan saya tentang situasi sekadar memberi token, seolah-olah memperagakan tokoh-tokoh filem dengan bergambar bersama-sama cek (nilai selalunya dalam lingkungan RM1000) dan menteri, serta pegawai-pegawai FINAS seperti yang kerap dilakukan. Seperti saya katakan, seniman harus dibantu, tetapi bukan dengan cara begini. Ini ada saya tulis/perjelaskan

kepada Puan Jame dari FINAS untuk diterangkan kepada pihak menteri dan saudara.

Dengan itu, sekali lagi saya tidak bersetuju dengan rancangan FINAS di bawah pentadbiran saudara.

Oleh itu, saya harap perasaan prejudis saudara (jika ada) tidaklah digunakan untuk mempengaruhi keputusan terhadap permohonan saya. Ayat penuh yang disebut oleh sumber FINAS adalah, “kami semua sokong projek ini, tetapi kerana ada keputusan dari atas”.  Jadi, jika saudara sebagai Ketua Pengarah FINAS turut serta juga dalam pemilihan dan penentuan projek mana yang patut diluluskan atau tidak diluluskan, dan menggunakan kuasa veto dalam menentukan nasib permohonan saya sekali gus saudara telah menghina kebijaksanaan panel yang dilantik OLEH Finas sendiri.

Sudah tentu saya terkejut apabila diberitahu akan penolakan tersebut. Menghasilkan filem kenegaraan bukanlah suatu perkara yang mengikut rasa hati. Prosesnya mengambil kira beberapa faktor awal yang sangat penting, iaitu 1) projek yang bagus dan berpotensi supaya dapat mengetengah nama negara, 2) pembikin yang bukan sahaja mempunyai credential yang kuat, tetapi konsistensi dalam penghasilan filem berkualiti, dan 3) syarikat yang kukuh dan berkebolehan.

Kesemua itu harus menjadi prioriti dan amat tidak wajar, dan memalukan sekiranya ada pihak yang mengikut rasa hati dalam menentukan siapa yang layak, dan patut mengerjakannya.


Saudara Ahmad Idham,

Saya tidak selesa untuk menyenaraikan pencapaian saya atau apa yang dikatakan kejayaan dalam bidang ini, tetapi apa yang dimaksudkan dalam perkara pertama para di atas antara lain adalah filem kenegaraan harus mendapat perhatian di luar negera, dan ini boleh dicapai menerusi jemputan ke festival-festival filem antarabangsa yang relevan, sekali gus meletakkan filem kita ke dalam peta filem dunia. Filem Kaki Bakar, arahan saya adalah filem Malaysia pertama dalam sejarah filem Malaysia diundang (Official Selection) ke Cannes International Film Festival pada 1995, dan seterusnya ke sekian banyak festival penting yang lain. Filem pendek saya, Sepohon Rambutan

Indah Kepunyaan Saya di Tanjong Rambutan pula diundang (Official Selection) ke Cannes Film Festival pada 2006. Akan menjadi nilai tambah jika sesebuah produksi mendapat perhatian dari awal yang selalu membikin pihak festival penasaran apabila mendapat tahu seseorang pengarah memulakan sesebuah projek filem. Selain festival filem di Dubai, saya tidak pernah memohon untuk menyertai festival filem antarabangsa kecuali dijemput oleh mereka. Dan kesemua filem saya pernah dijemput, dan ditayangkan di festival filem antarabangsa.

Saya juga mendapat khabar yang FINAS terangsang untuk kelak membuat filem supaya dapat dipertandingkan di Oscar. Satu impian dan hasrat yang tinggi. FINAS dikhabarkan telah mengorak langkah untuk merealisasikan (walupun dengan alasan RnD, atau sebagai studi) dengan menubuhkan satu grup membuat kajian melalui metodologi tersendiri, tetapi terbukti bukan berlandaskan akedemik.

Kesedaran agar pencapaian ini diperoleh mungkin tercetus daripada kejayaan Sinema Korea dan kebangkitan sinema Asia dengan kemuncak Korea menerima filem terbaik di Oscar pada 2019 melalui filem Parasite. Jika ini ukuran saudara, kita harus tengok sejarah perjalanan Sinema Korea dan peranan tegar badan perfileman mereka, serta kerajaan mereka terhadap perkembangan sinema

mereka. Saya diundang ke Pusan International Filem Festival (sekarang ditukar nama kepada Busan International Film Festival) yang pertama dan kedua pada 1996 dan 1997, dan di situ telah pun saya nampak perancangan dan komitmen pihak pemerintah terhadap sinema mereka. Jika Sinema Korea menjadi contoh bukan sahaja filemnya (isi dan pertukangan) harus dikaji, tetapi infrastruktur dan komitmen badan perfileman dan kerajaan mereka harus dikaji dahulu. 

Begitu jugalah jika dikaji Sinema Iran. Pelaksanaan bagi perancangan besar harus dimulakan di atas meja tulis. Untuk Malaysia melahirkan kebanggaan dengan filem kenegaraan, komitmen kerajaan harus total. Saya tidak nampak akan usaha perseorangan dalam melaksanakan filem dalam skala sebegitu. Dan saya sendiri telah menulis, mengarah dan menerbitkan filem berskala besar, Hanyut pada 2014, setelah Enfiniti Filem dengan terbitan Tiara Jacqueline mengeluarkan filem Puteri Gunung Ledang (2004).


Saudara Ahmad Idham,

Bagi pengetahuan saudara, selain kesemua filem saya pernah menyertai festival antarabangsa dunia, saya juga kerap diundang sebagai juri di festival-festival filem antarabangsa (biodata saya dilampirkan), dan juga menduduki film committee Nomination Council Asia Pacfic Screen Awards di Brisbane Australia. Dari penglibatan saya sebagai juri di Sundance Film Festival, saya telah dilantik sebagai salah seorang mentor di Middle East Screenwriter’s Lab untuk The Royal Film Commision Jordan yang disokong oleh Sundance Institute. Jika saudara lihat lampiran biodata saya, banyak lagi penglibatan saya dalam dunia perfileman sebagai pembikin, penasihat, pengajar,

Peserta, dan kurator festival filem mahupun dalam cabang disiplin seni lain seperti teater dan seni tampak tanah air.

Saya tidak mahu memanjangkan tulisan ini kecuali diperlukan, dengan akhir kata saya ingin saudara fikir semasak-masaknya apa sahaja keputusan yang saudara lakukan berkenaan perfileman, apatah lagiperfileman tanah air. Filem kita adalah jiwa kita. Jiwa yang besar. Ini adalah demi maruah filem kita jika kita ingin berpencak di persada dunia. Kita harus berkelakuan antarabangsa jika kita mahu dilihat antarabangsa.


Sekian, wassalam

U-Wei Bin HajiSaari


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Biodata U-Wei Bin HajiSaari


Pulang dari pengajian filem di New School of Social Research New York, saya mengarah 16 drama TV, kemudian memulakan filem pertama saya, Perempuan Isteri dan Jalang pada 1993 dan mengendalikan program rancangan Jazz di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM). Saya juga menulis dan mengarah pentas, dan menulis kolum mingguan di akhbar Watan.

Filem saya telah diundang ke festival di Singapura, Indonesia, Kalkutta, New Delhi, Kerala, Da Naang, Phenom Phemn, Korea Utara, Pusan, Manila, Tokyo, Dubai, Australia, Cannes, Nantes, Berlin, Fribough, New York, Telluride, Rotterdam, Warsaw Poland, Brussels dan lain-lain lagi.

Dua filem saya adalah official selections di Cannes International Film Festival dan filem saya pernah merangkul anugerah filem terbaik, pengarah terbaik, penulis skrip terbaik dan anugerah-anugerah lain di Malaysia, Belgium dan Kemboja.

Nantes Filem Festival (France) pada 2001 membuat satu retrospective kerja filem-filem saya.


Filem:


Perempuan Isteri dan Jalang (1992)

Black Widow Wajah Ayu (1994)

Kaki Bakar (1995)

Jogho (1998)

Buai Laju-Laju (2005)

Hanyut (2017)


Filem pendek:


Sepohon Rambutan Indah Kepunyaanku di Tanjong Rambutan (2006)

Satu Fragmen Satu Nota (2015)


Teater:


Bakai by Euripedes - TownHall Kuala Lumpur (1997)

Wangi Jadi Saksi - Auditorium DBP (2005)

Wangi Jadi Saksi - The Esplanade Singapura (2007)

Satu Kutipan - The Store DBP Kuala Lumpur (2009)

Pokok - Auditorium DBP (2018)


Mentor:


Oktober 2008, one of the creative advisers for ‘The 4th Middle East Screenwriters Lab’ for The Royal

Film Comission Jordon under Sundance Institute.

Mentorship IPCC 2008 Animation Category (a program by MDEC)

Creative Adviser ‘Asia Pacific Screen Lab’ at Griffith University in Brisbane Australia 2015 dan 2016.

August 2018 mentorship program ‘Asia Pacific Screen Lab’ in Pulau Pinang.

Kurator Seni:

Taman Syifa’ (solo Abu Bakar Idris) - Galeri Chandan 2010

Wayang U-Wei Jadi Saksi - Balai Seni Negara 2011

Wajah M50 Kini - Galeri Morne 2013

Jumping Jack Flash - Galeri Morne 2014

Kali Ini Kita Bersama - Galeri Morne 2014

Wayang U-Wei Hanyut Merentasi Saksi - Galeri Petronas 2016/17

Kali Ini Kita Bersama II - Galeri Morne @Balai Seni Negara 2019

Kurator untuk bacaan puisi:

Merai Sutung Umar RS (Ratip Kalbu) - Wisma ITBM 2016

Merai SM Zakir: Perjalanan Sang Zaman - Wisma ITBM ‘17

Merai A Samad Said - Kelab Taman Tesek 2017

Sepetang Meraikan Khalid Salleh - Wisma ITBM 2018

Kurator Program:

Brisbane Asia Pacific Film Festival 2015

Juri:

Singapore International Film Festival 2002 dan 2003.

Asia Pacific Film Festival Kuala Lumpur 2004,

Cinemanila International Film Philipine 2006/07,

World Cinema Sundance Film Festival USA 2007,

Bakat Muda Sezaman Balai Seni Lukis Negara Malaysia 2006/07

International Film Festival 2007,

Cinemalaya Filem Festival Philipines 2009,

SAARC Film Festival Colombo Sri Lanka 2014

Juri Asia Pacific Screen Awards di Brisbane Australia 2015

‘Script To Screen Film Workshop’ di Kuala Lumpur anjuran Motion Picture Association (MPA), FINAS,

Asia Pacific Screen Awards, Artisan Gateway dan Wildsnapper 2019.

Ketua Juri:

Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2007 & 2008

8th Jogja-NETPAC Asian Film Festival 2013

AIFFA Kuching Sarawak 2013 & 2015 & 2017 & 2019

Urban Film Festival Tehran Iran 2017

Festival Filem Malaysia 2019

Nomination Council:

Asia Pacific Screen Awards Brisbane Australia 2016 & 2019


Buku:


Wangi Jadi Saksi - Dewan Bahasa dan Pustaka 2010

Thirty Art Friends - Appreciating Asian Art 2010

Wayang U-Wei Jadi Saksi - Balai Seni Visual Negara 2011

Wajah M50 Di Galeri Morne - ITBM 2014

Art Friends 2 - Collecting Southeast Asian Art 2014

Jumping Jack Flash - ITBM 2015

Hanyut, A Journey - ITBM 2016






Comments

VIDEO TERHANGAT!

Trending di BACKSTAGE.MY

Popular posts from this blog

Layang-Layang Perkahwinan Episod Akhir: Pengkhianatan dan Perkahwinan Rahsia Terbongkar. Azim Dan Saida Bersatu Semula? (Ulasan Drama)

JDT Belasah Selangor 6 - 1 Final Piala FA 2024

Kim Seri Mohon Maaf Secara Langsung di TikTok, Akui Kesilapan dan Rayu Peluang Kedua

Lelaki Pikat Doktor, Tapi Terlopong Kena Hantaran RM30,000!

Liku-liku Hidup Fazura dan Kisah Perceraiannya Ibarat Lagu Band Korn

Anas Zuhrin: Individu Mulia Bantu Rozita Che Wan Selesaikan Hutang