Ulasan filem ART SCHOOL CONFIDENTIAL

ART SCHOOL CONFIDENTIAL [Sony Pictures]
ARAHAN : Terry Zwigoff

Professor Sandiford: Now Eno, why haven’t you been doing the assignments? 
Eno: Frankly, I find them constricting and largely irrelevant. My work has nothing to do with form or light or color, but with questioning the nature of aesthetic experience. 
Professor Sandiford: I’ll buy that. 

Premis sebuah filem yang mahu menggambarkan sebuah sekolah seni dengan disertakan humor kolej amat menarik bagi saya. Tapi itu sehinggalah masuk ke pertengahan filem ini apabila Art School Confidential sebenarnya berkisarkan tentang pembunuhan bersiri yang berlaku di Strathmore College. Lepas itu, cerita tentang budak lelaki yang nak memenangi hati budak perempuan melalui karya seni tahap Muzium Seni New York-nya,...oh, sungguh original. Klise sebeginilah yang seringkali membunuh keterujaan saya terhadap filem yang berlatarkan tentang sekolah seni. Memang sekali dengar tajuknya, tanpa membaca sinopsisnya, ia buat diri penulis dan juga penonton yang mungkin pernah memasuki mana-mana institusi pengajian seni visual tertarik kerana sejam terawalnya kita dipertontonkan dengan kejadian-kejadian yang berlaku terhadap Jerome (lakonan Max Minghella) yang mengimpikan dirinya sebagai seorang artis visual terkenal sama tahap dengan Pablo Picasso. Sampaikan di satu majlis jamuan berkostum, dia memilih untuk mengenakan busana bertemakan Pablo Picasso. Sampainya dia di Strathmore, lain pula jadinya apabila dia bertemu dengan Audrey (Sophia Myles), gadis penghias risalah Strathmore College yang turut menjadi model bagi kelas lukisan figuranya. Dia merasakan Audrey ialah gadis idaman yang dicari-carinya sebelum ini. Tetapi di Strathmore pula, dia mempelajari sesuatu iaitu kebenaran. Jika sebelum memasuki sekolah seni, Jerome merasakan seninya adalah yang terbaik bagi dirinya. Dia merasakan dialah yang paling ‘cool’ tetapi sebenarnya karya seninya tidak lebih daripada sekadar rupa atau gaya tetapi tanpa pengisian. Dia menghadapi persaingan dalam menghasilkan sebuah karya seni yang baik dan memahami apa yang menjadikan sebuah karya seni itu diangkat sebagai yang terbaik dan lebih parah buatnya apabila Audrey memilih untuk berpacaran dengan pelajar terbaik di Strathmore yang diadili karya mereka melalui setiap tugasan yang diberi. Terdesak, Jerome melakukan apa saja yang boleh menarik perhatian semua terhadap karya seninya dan ini termasuk menarik perhatian Audrey yang mula memasuki plot-plot pembunuhan bersiri.

Yang menariknya tentang filem ini ialah kritikan terhadap dunia seni tampak itu sendiri dan pandangan sinikalnya terhadap dunia seni tampak yang mungkin sukar dijelaskan jika apa yang anda faham tentang sebuah karya seni ialah hanyal ‘lukisan itu cantik, lukisan ini tidak’. Ada adegan-adegan menarik seperti diskusi tentang karya-karya pelajar yang mahu mendalami aspek kritis seni (yang nampak cantik tak semestinya tinggi nilai seninya, mungkin nampak biasa saja kerana idea yang sering diulang-ulang, ini sebenarnya boleh diaplikasikan terhadap pelbagai cabang seni. Muzik contohnya...)

Art School Confidential juga menunjukkan betapa pengajian seni itu tidak seperti pengajian yang lain. Anda boleh belajar untuk menjadi seorang akauntan, seorang jurutera, atau seorang peguam tetapi untuk menjadi artis itu bukanlah semudah yang disangka. Tidak hanya melalui pengajian lapan semester. Seorang artis tidak dibentuk tetapi memang dilahirkan sebagai seorang artis, dan dia hidup sebagai seorang artis. Sekolah seni hanyalah tempat untuk menajamkan deria mereka, menambahkan pemahaman mereka tentang teori dan praktis yang tidak diajar secara penuh ketelitian di sekolah-sekolah biasa selain komunikasi anda dengan para artis yang lain dengan sesuatu gaya yang mungkin tidak dikongsi atau dipersetujui bersama. Dengan kata lain, setiap artis itu memiliki sifat dan gaya yang tersendiri. Tetapi cukuplah untuk sejam pertama filem ini. Saya mohon maaf buat pembaca sekalian kerana membunuh keterujaan anda terhadap filem ini dengan terus membincangkan kepincangannya. Barangkali apa yang membuatkan saya mahu menonton filem ini ialah kerana ada nama Terry Zwigoff sebagai pengarah. Filemnya yang terdahulu, Ghost World (yang berkongsi tenaga kreatif dengan Daniel Clowes dari aspek penceritaan, sama juga dengan filem ini) tampak meyakinkan, tetapi sebaliknya bagi Art School Confidential. Kemudian saya mahu menontonnya kerana ada John Malkovich membawa watak Professor Sandiford, pensyarah seni yang sering dibandingkan dengan pensyarah-pensyarah yang lain oleh pelajar-pelajar senior di Strathmore kononnya dia sebagai seorang artis bukanlah hebat mana pun (macamlah cerita penulis semasa menunut pengajian seni satu waktu dahulu...). Ada satu masanya, saya mahu melihat filem ini kerana ada Steve Buscemi membawa watak Broaddway Bob, seorang pemilik kafe yang dikhaskan buat para artis tak kira pelajar atau pensyarah untuk melepak berserta mood galerinya dan dia seringkali bengang jika kafenya itu didatangi pihak berkuasa atau orang awam yang mengganggu pelanggan-pelanggan di premis perniagaannya. Dan yang lebih penting, watak Broaddway Bob inilah yang menghargai karya-karya pelajar di Strathmore dengan menggantungkan lukisan-lukisan mereka di dinding kafe berbanding dengan pengkritik seni di akhbar yang tidak mempedulikan karya mereka jika mereka tak punya nama.

Filem ini bercorak komedi dengan dialog yang begitu mengesankan. Cuma plot filem ini saja yang kedengaran biasa yang mengambil sekolah seni Strathmore hanya sebagai latarbelakang semata-mata. Samalah seperti anda membuat filem cinta dua insan dengan berlatarkan scene muzik grunge di Seattle macam filem Singles. Ia tetap jadi filem cinta, cuma berlainan lokasi. Saya tiada masalah dengan filem tentang pembunuhan bersiri cuma merasakan latar belakang sekolah seni Strathmore ini boleh menjadi lebih baik jika ia lebih banyak mendalami konflik seorang artis dalam berkarya. Bukanlah Art School Confidential tak bercerita tentangnya langsung cuma ia tidak diperluaskan. Tapi sekurang-kurangnya gambaran seorang seniman di dalam filem ini lebih baik berbanding filem Across The Universe dengan Jim Sturgess tiba-tiba rasa nak memalit cat pada kanvas sambil menyanyi lagu-lagu The Beatles kerana ianya era ‘flower power’ dan semua orang tiba-tiba nak menonjolkan ekspresi diri.

Comments

VIDEO TERHANGAT!

Trending di BACKSTAGE.MY

Popular posts from this blog

Layang-Layang Perkahwinan Episod Akhir: Pengkhianatan dan Perkahwinan Rahsia Terbongkar. Azim Dan Saida Bersatu Semula? (Ulasan Drama)

JDT Belasah Selangor 6 - 1 Final Piala FA 2024

Kim Seri Mohon Maaf Secara Langsung di TikTok, Akui Kesilapan dan Rayu Peluang Kedua

Lelaki Pikat Doktor, Tapi Terlopong Kena Hantaran RM30,000!

Liku-liku Hidup Fazura dan Kisah Perceraiannya Ibarat Lagu Band Korn

Anas Zuhrin: Individu Mulia Bantu Rozita Che Wan Selesaikan Hutang