[review] Garden State
Filem : Garden State [2004] [Miramax Films]
Arahan : Zach Braff
"This is the point in the conversation where you offer me a ride home." - Sam
"It is?" - Andrew Largeman
"Yeah." - Sam
"Can I give you a ride home?" - Andrew Largeman
"Fine." - Sam
Jarang sekali sebuah filem itu punya runut bunyi yang baik. Bukan itu sahaja, watak-watak di dalam filemnya cuba mengaitkan sesuatu cerita melalui lagu yang didengari mereka. Lama dahulu sebelum karakter Summer Finn lakonan Zooey Deschanel menegur Tom Hansen lakonan Joseph Gordon-Levitt tentang lagu The Smiths di dalam filem arahan Marc Webb, "(500) Days of Summer", Sam lakonan Natalie Portman telahpun memperdengarkan lagu "New Slang" dendangan The Shins melalui headphonenya kepada watak Andrew Largeman lakonan Zach Braff dalam satu adegan awal pertemuan mereka di sebuah klinik. Saya ulang lagi, The Shins. Apa yang anda harapkan dari sebuah kumpulan indie rock yang tidak dikenali di arena muzik mainstream tetapi menyelit di celahan skrip filem Hollywood? Dalam adegan ini, Sam menyebut lagu ini sebagai lagu yang mengubah hidupnya. Yang nyata, ianya telah mengubah hidup band The Shins itu sendiri kerana disebut di dalam filem "Garden State". Ia kemudian mula disebut-sebut media seperti Pitchfork dan Rolling Stone, dimuatkan di dalam siri televisyen The Sopranos dan Buffy the Vampire Slayer, permainan video Guitar Hero World Tour dan Rock Band dan dipersembahkan di dalam program Saturday Night Live.
Sebagaimana lagu yang ditulis oleh James Mercer ketika dia dalam satu waktu ingin keluar dari kampung halamannya, pekerjaaannya, perhubungannya dan kehidupannya yang lalu, begitu juga dengan filem "Garden State". Watak utamanya, Andrew Largeman ialah seorang pelakon televisyen yang kurang berjaya di Los Angeles dan di awal cerita dia pulang ke kampung halamannya di New Jersey selepas menerima berita tentang kematian ibunya. Di sini kita dapat membayangkan watak Andrew sebagai seseorang yang telah lama tidak pulang ke kampung halamannya atas sebab-sebab peribadi. Dia bertemu kembali dengan rakan-rakan lamanya yang masih tinggal di kampung. Dia juga tidak menjangka seorang kenalannya telah menjadi anggota polis kerana tuntutan hidup. Bagaimanapun, apabila bertemu rakan-rakan lamanya ini, Andrew kembali dengan aktiviti masa lalu seperti mengambil dadah dan ini dapat dilihat ketika dia menghadiri parti yang diadakan di rumah rakannya Mark lakonan Peter Sarsgaard. Pagi selepasnya, dia menemui doktor untuk mengenalpasti apa yang telah berlaku terhadap dirinya selepas kerapkali menerima pening kepala. Doktor pula mengesahkan yang puncanya selepas dia berhenti mengambil ubat dan pil yang yang bertujuan untuk mengurangkan tekanan yang berlaku terhadap dirinya. Di tempat yang sama, Andrew berkenalan dengan Sam yang sebenarnya menghidap epilepsi. Sejak awal pertemuan Sam dan Andrew, Sam kerap berbohong akan sesuatu perkara tetapi dengan cepat mengakui akan penipuannya, kerana itu adalah tabiat Sam jika dia bertemu dengan seseorang.
Sam kemudian memperkenalkan Andrew kepada ibu dan abang angkatnya. Sepanjang perkenalan Sam dan Andrew dan mengikuti perbualan mereka, kita didedahkan dengan cerita sebenar Andrew. Dia memberitahu Sam yang semasa kecil, dia telah menyebabkan ibunya lumpuh dalam satu kejadian. Peristiwa itu menimbulkan kemarahan ayahnya tetapi ayah Andrew tidak mahu kemarahannya itu memberikan kesan emosi kepada Andrew lalu sejak dari itu dia mula hidup bergantungan pada ubat-ubatan dan pil penenang yang diberikan oleh ayahnya sendiri. Tetapi sebenarnya, emosi Andrew seolah-olah terpenjara. Dia tak pernah menangis atau merasa sedih mahupun menunjukkan sebarang perasaan kesan dari 'rawatan' ini. Dia bagaimanapun meninggalkan kampung halamannya bukan kerana sebab kerjaya tetapi lebih kepada tidak mahu terus berhubungan dengan ayahnya. Andrew merasa dia dipersalahkan ke atas apa yang berlaku terhadap ibunya. Di sini kita lihat hubungan kedua beranak ini tidak begitu baik.
Perkenalan Andrew dan Sam pula sedikit sebanyak telah mengubah tanggapan Andrew tentang hidupnya. Sam pula menggalakkan Andrew membuat sesuatu yang unik yang tidak pernah dilakukan sebelumnya. Dalam masa yang sama, mula timbul perasaan cinta Andrew terhadap Sam. Di akhir cerita, Andrew berdepan dengan ayahnya untuk memulihkan perhubungan mereka. Andrew memberitahu ayahnya yang dia tidak seharusnya dipersalahkan atas apa yang berlaku. Andrew mengambil keputusan untuk meninggalkan kampung halamannya sekali lagi dan membina kehidupan yang lebih baik tetapi akan meninggalkan Sam yang juga mula menyimpan perasaan terhadapnya. Ketika Andrew hampir ingin menaiki kapal terbang ke Los Angeles, dia berpatah kembali mendapatkan Sam dan memberitahu dia tidak mahu membuang masa dan hidup selepas itu tanpa Sam. Filem berakhir di sini dengan kita membuat konklusi sendiri apa yang berlaku selepas itu terhadap 2 watak ini.
Zach Braff yang menulis, mengarah dan berlakon dalam filem ini memberikan persembahan yang cemerlang walaupun ini filem major pertama arahannya. Gandingannya bersama Natalie Portman menghidupkan filem ini dengan sifat kedua-dua watak ini kontra dan saling berlawanan antara satu dengan yang lain tetapi masih boleh membina sebuah hubungan yang baik. Zach memanggil "Garden State" sebagai sebuah filem cinta kerana dia tidak dapat memberikan kategori yang sesuai terhadap filem ini tetapi sepanjang menonton filem ini, ia bukanlah filem cinta yang biasa malah ianya lebih daripada itu. Gabungan filem ini dengan runut bunyinya juga menarik perhatian saya. Saya kira ketika filem ini keluar 6 tahun lalu, nama-nama seperti Iron & Wine atau Frou Frou masih lagi asing (sebelum timbulnya golongan 'hipster' yang hidup dengan Pitchfork Media). Malah, penggunaan lagu "The Only Living Boy in New York" dendangan Simon & Garfunkel juga seperti merujuk kepada filem klasik The Graduate lakonan Dustin Hoffman yang dilihat sebagai inspirasi kepada filem ini, malah banyak lagi filem-filem seumpamanya. Humor filem ini juga mencuit hati, bijak dan tidak melebih-lebih sangat (yang sering disogokkkan dalam banyak filem genre komedi sehingga memperbodohkan penonton). Saya tidak menganggap filem ini sesuatu yang besar dan boleh mengubah hidup seseorang (seperti yang selalu disebut pada dialog watak-watak) tetapi cukup jika ia dapat berhubung dengan penonton melalui penceritaannya yang jujur dan tidak terlalu dramatik. NAZRI AHMADEUS
Nota Kaki:
- Zach sebelum mengarah filem ini terkenal dengan watak Dr. John Dorian di dalam siri komedi televisyen, Scrubs.
- Zach merakam filem ini di kampungnya halamannya di New Jersey
dengan belanja sebanyak US$2.5 juta. Tetapi selepas ia ditayangkan ia mendapat pulangan sebanyak US$35 juta.
- Zach memilih sendiri lagu-lagu untuk dimuatkan di dalam album runut bunyi filem ini. Ianya telah memenangi angurah Grammy pada tahun 2005 untuk kategori Album Runut Bunyi Filem Terbaik.
- Natalie Portman ialah pilihan pertama Zach Braff untuk membawakan watak Sam tetapi pada awalnya Zach tak pernah terfikir pun akan mendapat aktres itu untuk filem pertamanya ini memandangkan ianya sebuah filem independent.
- Walaupun filem ini kurang diberikan publisiti oleh media mainstream Hollywood, ia tetap menarik ramai peminat filem yang kebanyakannya mengikuti lakonan Zach melalui Scrubs dan mereka juga mengikuti perkembangan filem ini melaui blog filem Zach. Filem ini ditayangkan secara terhad di pawagam-pawagam yang tertentu tetapi ramai peminat yang sangggup memandu berjam-jam lamanya dari tempat mereka semata-mata mahu menonton filem ini berulang kali.
- Selepas Zach menyiapkan skrip filem ini dan menghantar kepada individu-individu yang berminat, dia akan menyertakan salinan lagu-lagu yang dipilihnya yang kemudiannya menjadi runut bunyi filem ini.
- Watak ibu kepada Andrew Largeman tidak diberikan kepada sesiapa tetapi ketika adegan pengebumian di awal cerita, gambar aktres Diane Salinger digunakan di set pengebumian ini. Diane pernah berlakon di dalam filem Batman Returns membawakan waak ibu kepada Penguin.
- Zach menulis hampir seluruh skrip filem ini ketika masih menuntut di kolej. Tajuk asal filem ini pula ialah "Large's Ark" tetapi apabila nama ini dicadangkan, tiada seorang pun yang menyukainya sehinggalah ia dinamakan semula sebagai "Garden State". Nama asal filem ini tetap digunakan sebagai nama syarikat produksi filem iaitu Large's Ark Productions.
- Natalie Portman mengakui sebelum berlakon dalam filem ini, dia tak pernah mendengar atau memainkan muzik dalam bentuk vynil. Ketika dalam satu adegan di bilik tidur Sam, Natalie perlu diajar bagaimana untuk mengendalikan pemain rekod vynil yang lama ini.
- Zach kini dalam proses menulis dan mengarah filem keduanya, Open Hearts yang bakal ditayangkan pada tahun hadapan. Filem ini merupakan remake bagi sebuah filem Denmark bertajuk "Elsker dig for evigt".
Comments
Post a Comment