Ulasan filem FRANKENWEENIE arahan Tim Burton (Walt Disney Studios)

Anda mungkin terfikir Edward Sciccorhands sebagai cinta sebenar pengarah Tim Burton. Di laman web Rotten Tomatoes pula Pee-wee's Big Adventure dan Ed Wood dianggap sebagai filem terbaik arahannya. Dengan filem-filem seperti Sweeney Todd: The Demon Barber of Fleet Street, Batman, Planet of the Apes dan Big Fish dalam senarai koleksi peminat-peminatnya (yang baru-baru ini dikumpulkan dalam bentuk DVD boxset) kita tertanya-tanya apakah filem yang belum pernah dan akan dihasilkan oleh Burton selepas ini.

 Filem terbarunya pula, Frankenweenie, sebuah animasi stop motion dengan gaya The Nightmare Before Christmas dan Corpse Bride sebenarnya membawa Burton kembali semula kepada akar filem Frankenstein yang menjadi pengaruh besar ini dan juga sebuah filem dengan nama yang sama, Frankenweenie yang merupakan filem pendek arahan Burton pada tahun 1984 yang kini diberi kemaskini dari segi visual dan kepanjangannya sepanjang 87 minit, dan menjadi menjadi filem animasi stop motion pertama yang ditayangkan di pawagam IMAX 3D seluruh dunia di bawah edaran Walt Disney Pictures. 


Ironinya, semasa Burton menghasilkan filem Frankenweenie sekitar 1984, ia menjadi filem terakhirnya di bawah studio perfileman Walt Disney sebelum dia dipecat kerana Burton dikatakan melakukan banyak pembaziran sumber di syarikat perfileman itu dan filem buatan Burton dikatakan terlalu menakutkan untuk sebuah produksi Disney yang lebih mesra kanak-kanak. Hanya ketika filem-filem Burton seperti Beetlejuice, Pee-wee's Big Adventure dan Batman menempa kejayaan dari segi komersil, barulah Disney menerima karya-karya Burton semula bermula dengan Alice in Wonderland yang menjadi filem kedua terlaris pada tahun 2010.

Premis Frankenweenie berkisarkan tentang seorang budak lelaki, Victor Frankenstein yang meminati bidang sains di mana dia tinggal bersama ibubapanya dan anjing belaannya, Sparky di kawasan pinggir bandar New Holland yang jika dilihat pada sedutan filemnya, anda pasti akan melihat kesamaan set filem ini dengan filem Edward Scissorhands. Filem ini berkembang apabila Sparky mati selepas dilanggar sebuah kereta yang benar-benar membuatkan Victor amat sedih memandangkan Sparky dianggap rakan baiknya. Apabila eksperimen sains yang dilakukan oleh Victor berjaya menghidupkan kembali anjing belaannya itu, ia menarik perhatian rakan sekelas Victor iaitu Edgar yang mengugut untuk memberitahu orang ramai jika Victor tidak memberitahunya rahsia bagaimana Victor menghidupkan Sparky. Apabila rahsia ini terbongkar dan seluruh pekan mahu menghidupkan haiwan belaan masing-masing, di sinilah masalah mula timbul dan pelbagai peristiwa yang kelakar bermula.

Produksi Burton kali ini menggunakan artis animasi dan krew yang pernah berkerja dengan Burton untuk filem Corpse Bride tetapi apa yang lebih penting melalui Frankenweenie ialah rujukan yang diambil dari filem-filem Burton sendiri saat anda menonton filem ini. Jika tak diperkenalkan dengan filem ini sebagai filem Tim Burton sekalipun, anda sudah dapat mengagak ianya filem Burton seperti saya sendiri yang melihat banyak rujukan visual dari filem Edward Scissorhands, Beetlejuice malahan filem Batman arahannya pun. 

Lebih menarik ialah dua pelakon yang menyumbangkan suara mereka untuk watak di dalam filem ini ialah alumni dari filem-filem Burton sebelum ini seperti Martin Landau, Catherine O'Hara dan Winona Ryder (yang kali terakhir berlakon di bawah arahan Burton ialah 21 tahun yang lalu Edward Scissorhands) tetapi pelakon-pelakon baru yang memberikan suara pada watak-watak utama seperti Charlie Tahan sebagai Victor Frankenstein, Atticus Shaffer sebagai Edgar "E" Gore, Robert Capron sebagai Bob dan James Hiroyuki Liao dan Toshiaki tetap menarik perhatian saya dan setelah sekian lama, barulah kita dapat melihat sebuah filem Tim Burton tanpa nama Johnny Depp yang begitu kerap muncul dalam lima filem Tim Burton sebelum ini.
 
Filem animasi dalam genre sains fiksyen, horror dan komedi ini akan menemui penonton di Malaysia pada 25 Oktober 2012 ini.

Comments

VIDEO TERHANGAT!

Trending di BACKSTAGE.MY

Popular posts from this blog

Hannah Delisha Keguguran, Tabah Mengharungi Ujian Kehilangan dengan Semangat Ramadan

Ulasan filem Blade Runner 2049 oleh Billy Tio

Ariana Rose, General Hospital dan Plot Mangsa Rogol Mencintai Perogolnya: Drama Melayu dan mat Saleh tak jauh sangat bezanya...

Ulasan filem BRAWL IN CELL BLOCK 99 (2017)

Filem QUEEN OF LANGKASUKA yang memaparkan kesultanan Melayu lama