Geek itu rockstar yang baru



Filem : The Social Network [2010] [SONY PICTURE]
Arahan : David Fincher

Marylin Delpy: "What are you doing?
Mark Zuckerberg: "Checking in to see how it's going in Bosnia."
Marylin Delpy: "Bosnia. They don't have roads, but they have Facebook."


Apa yang bermula sebagai satu luahan kecewa seorang penuntut universiti kerana ditinggalkan kekasih telah bertukar menjadi satu 'permainan video' sensasi satu malam di Universiti Harvard, kemudian ia menjadi asas pembentukan kepada salah satu laman jaringan sosial paling popular di dunia internet. Ia mengubah hidup bekas penuntut Harvard, Mark Zuckerberg, seorang yang gagal dalam kehidupan sosialnya menjadi billionaire ('jutawan' itu terma yang sangat kecil untuk digunapakai) paling muda di dunia dalam usia 23 tahun kerana penghasilan laman web Facebook. Dia mungkin punya jaringan rakan di dunia maya yang paling ramai sehingga 500 juta orang tetapi untuk mencapai tahap itu, dia tak dapat lari daripada bermusuh dengan beberapa individu termasuk rakan baiknya sendiri. Premis ini digunakan oleh David Fincher (Se7en, Fight Club, Zodiac) sebagai kerja filem terbarunya yang telahpun menjadi salah satu filem terhangat di US Oktober lalu.
Jaringan sosial melalui internet telah berkembang secara drastik sejak penghasilan laman web seperti Friendster dan MySpace lebih 6 tahun yang lalu. Facebook pula bukan sesuatu yang original, tetapi idea Mark yang mahu mengembangkan Facebook dengan menambahkan aplikasi yang tidak diwujudkan oleh pesaing-pesaingnya seperti Facebook Platform begitu berjaya hingga menarik ramai saintis komputer untuk menanam aplikasi mereka di laman Facebook yang semakin menarik perhatian umum sejak 3 tahun lalu. Dalam legenda yang popular pula, Mark pernah menolak tawaran US$1 billion daripada syarikat Yahoo untuk membeli Facebook hingga ia menjadi buah mulut bagaimana seorang semuda Mark menidakkan kuasa wang untuk membeli sesuatu yang tampak ringkas seperti Facebook tetapi besar impaknya. OK, itu semuanya fakta tetapi tidak diceritakan di dalam The Social Network. Jadi kenapa anda perlu menonton filem ini? Jawapan pasti kerana kita mahu melihat bagaimana ilham Facebook itu datang dan bagaimana ia begitu berjaya hari ini.
Aaron Sorkin, penulis lakon layar untuk filem ini bagaimanapun hanya mengambil catatan tentang Facebook pada 4 tahun pertamanya ketika Mark (lakonan Jessie Eisenberg) masih lagi berada di tahun terawal di Harvard. Di awal cerita Mark menghasilkan laman web Facemash bersama rakan sebiliknya, Eduardo Saverin (Andrew Garfield) yang menarik minat Cameron Winklevoss, Tyler Winklevoss (Armie Hammer) dan Divya Narendra (Max Minghella), juga pelajar-pelajar di Harvard menggunakan kepakaran Mark untuk menghasilkan laman web jaringan sosial Harvard Connection yang hanya terbuka buat pelajar-pelajar di Harvard. Dalam diam, Mark mengambil idea mereka untuk menghasilkan laman web yang kemudian dipanggil 'Thefacebook' dan tanpa pengetahuan mereka, mengembangkannya ke institusi pengajian yang lain di Amerika. Apabila ianya terbongkar, mereka bertindak menyaman Mark atas tuduhan mencuri harta intelek. Datang pula watak Sean Parker (lakonan Justin Timberlake) yang mahu menggunakan potensi Thefacebook untuk mengukuhkan kedudukannya. Kemasukan Sean pula ke dalam Thefacebook yang kemduian menjadi Facebook tidak disukai Eduardo yang ketika itu rakan kongsi kepada Mark kerana rekod silam Sean dalam industri virtual yang buruk. Seterusnya anda melihat filem ini bergerak dengan menggunakan isu kuasa, wang dan pengkhianatan yang menjad drama di sebalik populariti laman web ini.
Filem ini dijalinkan dengan baik sekali oleh David Fincher dengan mood gelapnya seperti yang anda pernah lihat di dalam filem-filem seperti Zodiac dan The Game. Ditambah pula dengan penceritaan yang baik oleh Sorkin dan juga muzik latar oleh Trent Reznor dan Atticus Ross untuk mewujudkan perasaan thriller Silicon Valley yang penuh digital. Filem ini bagaimanapun tidak boleh dirujuk sebagai satu autobiografi yang tepat untuk menambahkan pengetahuan anda tentang sejarah Facebook. Anda tahu Hollywood itu pakar dalam memutarbelitkan fakta untuk mewujudkan suasana dramatik berdasarkan kejadian sebenar. Namun, walau bagaimana ironiknya cara Sorkin menjalin cerita ini dengan mengambil sumber tambahan dari internet selain buku tulisan Ben Mezrich, "The Accidental Billionaires" dan bukan secara terus dari pihak Facebook sendiri, tiada yang kelihatan yang tidak logik melalui The Social Network. Jika perbualan berkisarkan algoritma dan komputer ialah makanan harian anda, anda akan menyukai Social Network. David Fincher tidak pernah mengecewakan dalam garapannya. Namun yang penting, anda perlu menonton The Social Network sekarang kerana ia sememangnya perlambangan tentang budaya dekad ini. Kita tak pernah menjangka internet akan mengubah cara perhubungan sosial sesama manusia dengan begitu drastik dan kita melihat ilhamnya melalui filem ini.
Jadi ini ialah kisah budaya 'geek' mengikut kamus Hollywood yang tak perlu berlandaskan fakta 100%. Kerana dalam kehidupan sebenar, Mark Zuckerberg hanyalah seorang budak yang obses dengan kod-kod komputer laman web ciptaannya sendiri, dan yang sebenarnya dia hanya duduk di depan komputer sambil memesan pizza. Anda mahu lihat orang di depan komputernya selama 2 jam?
Oh ya, filem ini ditutup dengan sempurna dekali dengan sebuah lagu The Beatles.

Comments

VIDEO TERHANGAT!

Trending di BACKSTAGE.MY

Popular posts from this blog

Layang-Layang Perkahwinan Episod Akhir: Pengkhianatan dan Perkahwinan Rahsia Terbongkar. Azim Dan Saida Bersatu Semula? (Ulasan Drama)

JDT Belasah Selangor 6 - 1 Final Piala FA 2024

Lelaki Pikat Doktor, Tapi Terlopong Kena Hantaran RM30,000!

Liku-liku Hidup Fazura dan Kisah Perceraiannya Ibarat Lagu Band Korn

Anas Zuhrin: Individu Mulia Bantu Rozita Che Wan Selesaikan Hutang

Rosmah Mansor Bebas Daripada 17 Tuduhan