Uqasha Senrose Fail Cerai, Kamal Adli Tampil Beri Penjelasan — Kedua-duanya Mohon Netizen Hentikan Spekulasi
KUALA LUMPUR, 23 Okt — Rumah tangga pasangan selebriti popular, Uqasha Senrose dan Kamal Adli, dilaporkan sedang bergolak selepas Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya pada 1 Oktober lalu di Mahkamah Syariah.
Difahamkan, hubungan pasangan itu mula bermasalah sejak April tahun ini namun bukan berpunca daripada kehadiran orang ketiga. Kini, Uqasha dilaporkan tinggal bersama ibunya dan tidak lagi menetap sebumbung dengan Kamal.
Prosiding sebutan pertama kes perceraian mereka berlangsung hari ini. Peguam yang mewakili Uqasha menjelaskan bahawa keputusan bercerai dibuat selepas anak guamnya merasakan hubungan tersebut tidak lagi boleh diselamatkan.
“Oleh kerana anak guam merasakan tidak boleh diteruskan, jadi keputusan bercerai terpaksa diambil walaupun bukan mudah,” kata peguamnya.
Uqasha turut menegaskan agar orang ramai tidak mengaitkan hal anak dalam isu rumah tangganya dan memberi bayangan bahawa terdapat perkara yang tidak jujur dalam perkahwinannya.
“Lebih baik orang tahu dia sebenarnya tidak jujur. Kalau boleh saya nak dunia tahu betapa ‘fake’ dia tu. Maaf, tapi siapa yang masih nak sokong dia selepas posting terbarunya, silakan,” tulis Uqasha di media sosial.
Sebelum itu, Kamal Adli dalam satu hantaran di Instagram tampil menafikan beberapa dakwaan yang dilemparkan terhadap dirinya, termasuk tuduhan tidak meluangkan masa bersama anak mereka, Hawra, serta kononnya tidak mempunyai tawaran kerja.
“Saya sangat sayangkan anak saya. Mustahil saya tak fikir pasal Hawra. Banyak masa saya luangkan bersamanya, bawa bercuti dan sebagainya,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa keputusan tidak bekerja selama dua bulan dibuat atas kehendak sendiri untuk berehat dan memberi tumpuan kepada keluarga.
“Saya purposely tak ambil kerja selama dua bulan untuk fokus pada isteri dan anak saya. Alhamdulillah, rezeki saya tak putus dan mencukupi untuk keluarga kecil saya,” ujarnya.
Kamal turut meminta agar netizen tidak menimbulkan provokasi terhadap isterinya atau meninggalkan komen negatif mengenai isu peribadi mereka.
“Urusan peribadi kami biarlah menjadi rahsia kami suami isteri. Saya cuma minta, jangan provoke isteri saya. Dia juga manusia, kadang penat dan stress. Demi Allah, saya sayangkan isteri dan anak saya,” tulisnya.
Kedua-dua belah pihak kini memilih untuk tidak memberi sebarang kenyataan lanjut kepada media, dan masing-masing berharap agar orang ramai berhenti membuat spekulasi serta mendoakan yang terbaik buat mereka sekeluarga.
Comments
Post a Comment